Friday, July 3, 2009

KHASIAT KURMA

Khasiat buah kurma bukan sahaja diakui di dalam Islam malah di kalangan pakar perubatan dewasa kini. Ia boleh dimakan secara mentah, disalai atau diproses menjadi makanan ringan, jem atau jus minuman. Kebiasaannya, buah kurma ini begitu sinonim dikaitkan dengan bulan puasa atau umat Islam.

Pokok kurma yang seakan-akan pokok kelapa, di dapati dari Timur Tengah dan telah dikomersialkan ke pasaran luar sehingga menjadikan ia terkenal di seluruh dunia. Buah kurma yang sebesar 1 hingga 2 inci, mampu memberikan pelbagai khasiat kepada pemakan. Dalam bahasa saintifiknya, kurma dikenali sebagai Phonex dactylifera. Buahnya dimakan secara mentah ataupun masak. Terdapat pelbagai jenis kurma seperti deglet noor, halawi, khadrawi, zahidi,thoor dan medjool. Kurma dari Mekah dan Madinah dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis dan ia adalah antara yang terkenal.

Kandungan zat anti oksidannya ialah 2 kali ganda daripada yang terdapat dalam kismis, aprikot kering dan blueberry. Terkenal dengan kandungan laksatifnya, kurma juga kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Khasiat Kurma

Kurma memberikan tenaga serta merta menerusi kandungan gulanya sebanyak 50 hingga 57 peratus glukosa. Kandungan proteinnya pula lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus serat dan serat 2.0 hingga 4.0 peratus. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita dari makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala pada waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat. Tanpa tenaga serta-merta ini, akan menjadikan kita mengantuk.

Potasium diperlukan oleh tubuh badan untuk sistem saraf kerana kurma mengandungi sumber yang mujarab. Pengambilan potasium yang berlebihan tidak menyebabkan penimbunan toksid di dalam tubuh. Sebaliknya ia sangat baik untuk mengatasi masalah seperti sembelit, lemah otot, letih, yang mengalami tekanan, sengal-sengal badan dan juga untuk menguatkan ingatan.

Kurma yang dimakan tanpa membuang kulitnya boleh mencegah dari masalah barah usus besar kerana ia melawaskan.

Buah kurma juga mengandungi khasiat kepada kaum wanita yang sedang nifas iaitu ia memudahkan proses ketika hendak bersalin.

Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu boleh memakan buah kurma. Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam kurma adalah unsur yang berkhasiat yang dapat menambahkan air susu ibu.

Kurma juga berperanan dalam tumbesaran kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang. Ia juga tidak mengandungi kolesterol, lemak serta gula. Dan, ia elok untuk meredakan tekanan darah tinggi.

Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Dalam rawatan kaedah Sufism pula, kurma boleh dijadikan sebagai penawar penyakit.

No comments:

Post a Comment