Tuesday, July 14, 2009

Cara Tidur RASULULLAH

Dalam sebuah hadis diterangkan: "Al-Barra' bin Azib r.a. berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. jika akan tidur, miring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca: Maksudnya : "Ya Allah aku serahkan diriku kepadaMu dan menghadapkan mukaku kepadaMu dan menyerahkan semua urusanku kepadaMu, dan menyandarkan punggungku kepadaMu kerana mengharap dan takut kepadaMu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksaMu kecuali kembali kepadaMu. Aku percaya kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus". (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut sebuah hadis lagi riwayat Bukhari dan Muslim: "Jika kamu akan tidur maka berwudhu'lah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah do'a ini (seperti do'a yang tersebut di atas) dan jadikanlah bacaan do'a itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)".

Maksud hadis : "Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah s.a.w. tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Tidur adalah dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, iaitu sekiranya seseorang itu tidur dengan melakukan saranan-saranan dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Dalam sebuah hadis daripada Huzaifah katanya: "Nabi s.a.w. apabila Baginda berbaring di tempat tidurnya, Baginda berdo'a (Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan aku hidup) dan apabila bangun Baginda membaca: (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepadaNyalah tempat kembali)."

"Daripada 'Aisyah r.a. katanya: "Nabi s.a.w. apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam Baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdo'a), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian Baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dapat disapunya mulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (Diriwayatkan oleh at-Tirmizi)

Selain itu sebelum tidur Baginda menunaikan sembahyang Witir sebagaimana hadis yang menyebutkan: "Nabi s.a.w. juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan sembahyang witir setiap kali sebelum tidur." (Hadis riwayat Bukhari)

Ketika Baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, Baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum Baginda tidur semula.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: "Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila dia berwudhu' maka akan terbukalah ikatan yang kedua. Apabila dia sembahyang maka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas & kekusutan hati." (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Demikian antara cara tidur Rasullullah s.a.w. untuk menjadi amalan kita.

No comments:

Post a Comment