Sunday, July 5, 2009

KHASIAT PELBAGAI JENIS ULAM

Ulam merupakan gelaran kepada tumbuhan yang dimakan secara mentah atau sekadar dicelur (direndam sekejap dalam air panas) sebelum dimakan bersama nasi. Ulam juga biasanya dimakan bersama dengan perasa seperti budu, cencaluk, atau sambal belacan, sebelum dimakan bersama nasi. Ulam sudah terkenal sebagai hidangan harian utama di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian tumbuhan yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunga.


Sayur-sayuran biasa boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Ini termasuklah sayur-sayuran seperti timun, kubis dan terung. Selain daripada sayur-sayuran biasa, terdapat satu lagi kumpulan ulam ialah ulam tradisional. Ulam tradisional lebih meluas penggunaannya termasuk digunakan sebagai ulam biasa, sebagai bahan masakan seperti dalam penyediaan nasi ulam atau nasi kerabu dan masakan sayur lemak, dan sebagai bahan perubatan seperti penyakit kencing manis atau darah tinggi.

Ulam tradisional

Di Malaysia lebih daripada 120 jenis tumbuhan telah dimakan sebagai ulam yang terdiri daripada pelbagai keluarga tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan tersebut terdiri daripada tumbuhan kecil dan melata jenis semusim seperti pegaga, dan sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok- pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas. Pokok jenis saka adalah pokok yang besar dan tinggi. Biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara. Pokoknya boleh meninggi atau menjulang antara 20 - 30 meter. Ukuran lilit batangnya boleh menjangkau antara 2 - 5 m.

Penghasilan

Secara amnya ulam tidak ditanam secara komersial. Ulam hanya ditanam secara kecil-kecilan disekitar rumah untuk dimakan sendiri atau dipetik daripada yang tumbuh meliar. Ulam yang ditanam untuk kegunaan sendirian biasanya adalah dari jenis semusim dan mudah ditanam seperti pokok Ulam Raja, selom dan kacang kelisa. Ulam yang berasal daripada pokok saka biasanya dikutip dari tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam keadaan semulajadi seperti hutan atau dusun. Antara ulam yang termasuk dalam kumpulan ini adalah jering, pucuk putat, kerdas dan rebung. Terdapat juga yang ditanam untuk kegunaan lain seprti untuk buahnya, tetapi sebahagiannya diambil untuk dimakan sebagai ulam seperti jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda dan pucuk jambu golok (gajus).


Khasiat ulam

Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natriu (Na) dan kalium (K) di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Sebagai contoh, daun kaduk didapati mempunyai kalsium (Ca), fosforus (P), dan besi (Fe) yang paling tinggi iaitu sebanyak 446, 50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam lain.

Ulam juga membekalkan serat yang amat di perlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus.

Khasiat perubatan

Ulam juga memainkan peranan penting dalam perubatan Melayu dan kini pakar pengkaji perubatan barat juga turut mengakui khasiat ulam sebagai tambahan yang baik untuk badan. Sebagai contoh, pegaga kini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjanakan kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak selain dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Ulam jering pula mengandungi sejenis sebatian alkaloid pelawas yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Selain itu juga jering boleh menjadi penawar yang berkesan pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula di dalam badan. Daun kaduk pula mempunyai kandungan kalsium yang tinggi yang diperlukan oleh badan untuk memperkuatkan tulang, dan mengelakkan daripada penyakit osteoporosis terutama dikalangan kaum wanita.

No comments:

Post a Comment