Tuesday, June 12, 2012

SENGSARA AKIBAT DIABETES




SEJAK tiga bulan kebelakangan ini Ahmad Hashim, seorang penghidap diabetes berumur 55 tahun kerap mengalami kehilangan rasa dan kekebasan di tangan dan kakinya. Perkara ini boleh berlaku pada bila-bila masa setiap hari. Puan Salmah, berumur dalam lingkungan empat puluhan pula kerap kali merasai seolah-olah kakinya panas seperti api. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku atau mengapa dia mengalami keadaan ini. Seorang lagi penghidap diabetes, Johan Rais mengalami rasa berdenyut dan menjengkelkan di bahagian tangan dan kaki sejak setahun lalu.

Diabetes ialah penyebab paling biasa masalah saraf seperti ini. Jangan anda sekali-kali mengabaikan tanda kerosakan saraf yang disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi.

Cara  terbaik untuk mempastikan dan mencegah diabetes daripada menjadi tidak terkawal ialah mengambil ujian paras gula dalam darah secara berterusan. Daripada keputusan ujian ini anda dapat melakukan perubahan terhadap gaya hidup dan tabiat pemakanan. Jika hasil ujian itu menunjukkan paras dalam gula darah anda lebih tinggi daripada normal, ia menunjukkan pra-diabetes atau diabetes. Diabetes juga menyerang dalam senyap. Lebih lima puluh peratus penghidap diabetes tidak menyedari mereka menghidapi penyakit tersebut; ia merupakan salah satu penyebab utama kematian yang disebabkan oleh sesuatu penyakit di Malaysia.

Ramai orang buat pertama kalinya sedar mereka mempunyai masalah paras gula dalam darah yang tinggi sebaik sahaja mula mengalami kerosakan saraf atau salah satu komplikasi yang mengancam nyawa, seperti pemotongan kaki, kebutaan, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan strok.

Sekiranya berat badan anda berlebihan atau badan anda terlampau gemuk, ini boleh mempercepatkan kemunculan komplikasi diabetes. Diabetes dan segala komplikasinya boleh berlaku pada semua peringkat umur, tidak kira bangsa dan kumpulan etnik.

Menurut Kajian Kesihatan Nasional dan Mobiditi 2006 (National Health and Morbidity Survey 2006), yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, seorang daripada tujuh warga Malaysia menghidapi diabetes. Namun, ini mungkin hanya satu petanda kecil sahaja bagi suatu masalah yang lebih besar. Ramai pakar yang terkemuka dalam masyarakat perubatan dan nutrisi di Malaysia kini mempercayai diabetes menimpa sejumlah besar penduduk; iaitu sehingga sebanyak 22 peratus daripada jumlah populasi negara ini. Ini bermakna seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia adalah penghidap diabetes. Satu fakta yang sangat menakutkan.

Pemotongan anggota
Pemotongan anggota merupakan satu kemungkinan besar komplikasi neuropati yang serius. Diabetes ialah salah satu penyebab utama pemotongan bahagian bawah kaki di seluruh dunia sehingga sebanyak 50 peratus daripada semua pemotongan. Risiko pemotongan kaki adalah 27.7 kali ganda lebih tinggi bagi orang yang menghidapi diabetes.

Rawatan menurunkan paras gula darah kepada paras normal adalah langkah rawatan yang pertama untuk mencegah kerosakan saraf daripada berterusan. Pemantauan paras gula dalam darah secara kerap, merancang pemakanan, kegiatan fizikal, mengambil ubat atau insulin, akan membantu mengawal paras glukosa dalam darah. Ini mungkin mengambil masa, tetapi umumnya gejala itu akan berkurangan apabila pengawalan glukosa dilakukan dengan baik. Pengawalan yang baik juga membantu mencegah atau melambatkan kemunculan masalah selanjutnya.

Para saintis Jepun kini telah mendapati saraf yang rosak boleh dipulihkan semula dengan mengambil sejenis suplemen yang mudah, dikenali sebagai "mecobalamin" atau "methylcobalamin", iaitu bentuk vitamin B12 yang aktif. Dalam pada itu, mecobalaminmerupakan bentuk Vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi. Dengan adanya mecobalamin, hepar tidak perlu lagi menukarkan bentuk vitamin B12 yang tidak aktif (cyanocobalamin) kepada mecobalamin, kerana ia sudah pun aktif dari segi oral.Mecobalamin melindungi daripada penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui mekanisme unik yang berbeza daripada terapi semasa. Sesetengah gangguan yang mungkin dapat dicegah atau dirawat dengan menggunakan terapi vitamin semula jadi ini termasuklah neuropati periferal. Ambil satu kapsul yang mengandungi 500 mcg tiga kali sehari untuk menggalakkan pertumbuhan saraf yang sihat dan melindungi daripada proses kemerosotan sistem saraf.

sumber: utusan.com

Friday, June 8, 2012

ALAH RISIKO MAUT


Foto 

Ramai rakyat Malaysia tidak tahu, ambil ringan penyakit elergi dan imun


TANGGAPAN bahawa perkembangan penyakit berkaitan alahan dan imunologi seperti Primary Immunodeficiencis (PI) sebagai kes terpinggir dan jarang dihidapi seharusnya dikikis bukan saja di kalangan masyarakat malah pihak berkuasa.

Kebanyakan kes diagnosa PI adalah di kalangan kanak-kanak berusia kurang dari setahun. Bagaimanapun, bentuk PI yang kurang serius tidak dapat dikesan sehinggalah penghidap lebih dewasa.
Dalam satu kajian beberapa tahun lalu, kadar tersebar luas penyakit ini dianggarkan 1 dalam 1,200 orang. Malah, laporan kajian yang dikendalikan Malaysian Primary Immunodeficiency Network atau MyPin mendapati daripada sejumlah kanak-kanak yang berkemungkinan menghidap PI, 30 peratus daripada mereka disahkan menghidap penyakit ini. - Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, Presiden Persatuan Alahan dan Imunologi Malaysia (MSAI).
Presiden Persatuan Alahan dan Imunologi Malaysia (MSAI), Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, berkata PI bersifat warisan selain berpunca daripada kecacatan genetik dalam sistem imun.

“Ini menyebabkan penghidap mudah mendapat pelbagai jenis jangkitan yang menjejaskan kulit, telinga, paru-paru, usus dan organ lain tubuh,” katanya kepada Sihat.

Dr Amir Hamzah berkata, jangkitan yang dialami pula bersifat kronik, berterusan, berulang dan dalam sesetengah kes membawa maut.

“Dalam satu kajian beberapa tahun lalu, kadar tersebar luas penyakit ini dianggarkan 1 dalam 1,200 orang. Malah, laporan kajian yang dikendalikan Malaysian Primary Immunodeficiency Network atau MyPin mendapati daripada sejumlah kanak-kanak yang berkemungkinan menghidap PI, 30 peratus daripada mereka disahkan menghidap penyakit ini,” katanya kepada Sihat. 
Dr Amir Hamzah berkata, sehingga kini Malaysia hanya mampu mengesan dua peratus saja daripada penghidap PI dan ini bermakna, ramai ibu bapa yang tidak tahu anak mereka menderita penyakit ini.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kes menunjukkan PI bukan penyakit luar biasa di mana pakar klinikal dan perkhidmatan diagnostik perlu dibentuk dan digerakkan segera bagi mengawal dan menguruskan penghidap PI ke paras optimum.

Berikutan usaha berterusan MyPin menyuarakan kebimbangan mengenai penularan penyakit ini dilihat gagal meraih perhatian pihak berkaitan, Minggu PI Sedunia dianjurkan di Kuala Lumpur mulai 22 April lalu dan dijangka berakhir, hari ini.

Program ini antara lain menyeru pengamal perubatan untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya PI serta membantu mereka menjalankan diagnosa bagi membolehkan rawatan cepat, tepat dan berkesan diberi. Kesedaran klinikal dan prosedur diagnosa yang lebih baik selain menyedarkan umum mengenai penyakit ini sangat penting kerana PI boleh disembuhkan.

Sementara itu, Perunding Alahan Pediatrik dan Dewasa di Hospital Gleneagles, Dr Kent Woo Chee Keen berkata, ramai orang menyangka mereka mempunyai penyakit alahan terutama membabitkan saluran udara, tetapi sebenarnya masalah imun.

“Dua perkara penting yang perlu saya tegaskan ialah sesiapa yang mendapat serangan resdung atau sinus dua kali atau lebih dalam masa setahun yang memerlukan dua atau lebih jenis antibiotik setahun, ia adalah satu tanda amaran bahawa anda menghadapi masalah kecacatan imun atau PI.

“Satu lagi amaran jelas adalah apabila anda sering berulang alik ke hospital sekitar empat kali atau lebih setahun, memerlukan antibiotik dan mengalami radang paru-paru, anda berkemungkinan mengalami PI,” katanya.

Dr Kent berkata, sama juga dengan persepsi terhadap asma atau semput. Ramai yang menyangka ia adalah penyakit padahal asma adalah gejala kepada penyakit alahan. Sehubungan itu, amat penting bagi individu yang mengalami asma menjalani ujian dan penilaian sempurna.

Mereka perlu berjumpa pakar imunologi dan pakar alahan supaya dapat mengesan faktor penyebab kepada alahan itu. Oleh itu, pesakit dapat mengelak daripada terdedah kepada faktor berkenaan seperti alah kepada anjing, kucing atau habuk. Gunakan kaedah paling berkesan dan praktikal seperti tidak membela haiwan peliharaan atau menjemur, mencuci cadar, bantal dan tilam sekerap mungkin.

Nafas berdehit dan batuk berterusan adalah tanda awal asma tetapi bagi seorang dewasa yang batuk selama lapan minggu secara berterusan (batuk kronik), ia adalah tanda mereka menghidap asma. Ini juga menunjukkan bahawa ramai orang yang mengalami asma tidak tahu mereka menghidap penyakit itu. Asma datang dalam pelbagai bentuk termasuk asma yang berpunca daripada alahan, tanpa alahan dan cara kerja.

Dengan penilaian dan diagnosa yang tepat asma boleh diurus dan dirawat. Antara rawatan paling berkesan adalah dalam bentuk sedutan kortikosteroid. Sedutan steroid mampu mengawal salur udara yang mengalami keradangan yang menjadi punca kepada asma.

Keberkesanan sedutan steroid disesuaikan dengan betapa serius dan tahap kawalan pesakit. Bagaimanapun, kaedah terbaik untuk mengawal asma adalah dengan terapi imun. 

Sumber: Berita Harian Online