Sunday, June 29, 2008

Makanan Dan Hikmahnya Dalam Islam


Roti (khubz)
  • Roti yang paling bagus ialah diperbuat daripada gandum yang baik dimasak dalam pembakar roti yang bulat. Roti itu dibiarkan sejuk sebelum dimakan, jika tidak kita akan merasa haus bila emakannya. Roti yang sudah lama dan tidak elok akan menyebukan perut. Roti yang terdapat sekam gandum mudah dicernakan. Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jangan potong roti dengan pisau. hormatilah roti itu dengan memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu".

Jintan Manis (anisun)
  • Jintan manis banyak khasiatnya ianya melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus. Ianya juga boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu disekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata.

Epal (tuffah)
  • Epal yang masam lebih sejuk daripada yang manis. Ianya juga boleh menguatkan organ hati.

Asparagus (hiyawn)
  • Asparagus berkhasiat bagi membuka sekatan pada buah pinggang dan memudahkan kelahiran anak.

Pisang (mawz)
  • Pisang boleh menyejukkan badan dan ianya boleh dimakan dengan madu lebah.

Barli (sya'ir)
  • Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah s.a.w. pernah memberi sup barli kepada orang yg mengidap demam.

Selasih (manis rayhan)
  • Selasih berkhasiat untuk menguatkan organ hati, memudahkan tidur dengan cara menyapu kepala dengan basil yang dicampurkan air.

Mentega (zubdah)
  • Mentega khasiatnya memanas dan melembapkan. Baik untuk menghilangkan sembelit. Mentega yang dicampurkan dengan kurma dan madu sejenis makanan yang menghilangkan rasa mengidam pada perempuan hamil.

Bunga kubis (qunnabit)
  • Sayuran ini sukar dihadam dan bahaya untuk penglihatan.

Chamomile (babunaj)
  • Kegunaan chamomile ialah melancarkan aliran haid dan kencing. Ianya juga sangat berguna untuk memanaskan badan.

Lobak merah
  • Kegunaannya memanaskan badan. Ianya juga melancarkan aliran haid dan air kencing.

Biji kopi (qahwah)
  • Sebagai ubat penyakit buang air besar berdarah, menghilangkan dahaga dan dikatakan menimbulkan kebijaksanaan.

Biji hitam (habb al sauda)
  • Dilaporkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jadilah seperti biji habbal sauda kerana biji ini ubat semua penyakit kecuali kanser dan mati". Adalah dilaporkan juga bahawa Allah Taala menunjukkan bahawa "ia" itu ialah hab al sauda menghapuskan angin dalam usus dan demam. Baik untuk merawat 'leukoderma' dan membuka saluran urat yang halus. Berguna untuk menghilangkan penyakit selesema.

Ayam (dajaj)
  • Memudahkan penghadaman. membetulkan imbangan badan, baik untuk otak dan badan, serta mencantikkan rupa paras. Walau bagaimanapun jika dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit sendi dan yang terbaik ialah daging ayam betina yang tidak bertelur.

Kulit kayu manis (darchini)
  • Kulit kayu manis juga merupakan pemanas badan. Minyaknya sebagai penawar untuk menghapuskan rasa tidak hadam. Ia merupakan campuran (rempah ratus)yang digunakan dalam resepi masakan hampir tiga suku penduduk dunia.

Limau
  • Limau kulit tebal, warna kuning pucat, kurang mengandungi asid (utrujj) Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, "Limau ini adalah seperti mukmin: bagus dirasa dan bagus dihidu". Limau ini menguatkan organ hati serta dapat menjauhkan kesedihan dan bintik-bintik pada kulit, menghapuskan kelaparan dan melambatkan pengaliran dalam hempedu.

Timun (qitta')
  • Yang masak menghilangkan panas dan menggalakkan pembuangan air kecil. Makan kurma dengan timun muda menambahkan berat badan.

Jintan putih (kammun)
  • Jintan putih khasiatnya untuk memanaskan badan. Jintan putih yang direndam di dalam air dan diminum adalah baik untuk mengubat perut yang memulas.

Tamar kering (tamr)
  • Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Rumah yang tiada tamar atau kurma adalah rumah yg tiada bermakanan". Nabi s.a.w. sendiri pernah menanam kurma atau tamar. Kurma hendaklah dimakan dengan badam untuk menghapuskan parut yang tidak diingini.

Terung (badhijan)
  • Terung hitam menyebabkan keluarnya hempedu. Kecenderungan benda ini mengeluarkan hempedu dapat dibetulkan dengan memakannya bersama daging.

Telur (baydah)
  • Khasiat telur yang paling baik boleh kita dapati daripada telur ayam (setengah masak atau masak) bukan direbus keras. Putih telur melegakan apabila kita melecur atau kulit terbakar dan menghilangkan parut pada kulit.

"Endive" (hindiba)
  • Khasiat hindiba berubah mengikut musim. Hindiba' pada awal musim adalah yang paling baik dan yang dipenghujungnya sudah tidak berkhasiat lagi. Hadith menyatakan "makanlah hindiba dan janganlah bersendawa kerana sesungguhnya tidak ada satu hari pun titisan air syurga tidak jatuh ke atas hindiba".

Fenugreek (Hulbah)
  • Nabi s.a.w. pernah bersabda "jika umatku tahu apa yang ada pada hulbah, mereka pasti membeli dan membayarnya dengan emas". Antara khasiat hulbah membantu pengaliran haid dan berguna untuk menyembuhkan sakit perut(memulas).

Buah Ara fig (fin)
  • Fin kering adalah yang terbaik. Di antara khasiatnya ialah untuk memanaskan badan dan rasanya enak. Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Jika anda kata ada buah datang dari syurga maka itulah fin kerana sebenarnya inilah buah syurga". Oleh itu makanlah buah fin kerana khasiatnya menyembuhkan penyakit buasir dan pirai.

Ikan (samak)
  • Khasiat ikan air tawar lebih baik terutama yang makan tumbuh tumbuhan, bukan yang makan lumpur dan benda-benda seni dalam air. Ikan yang tidak dimasak sukar dihadam dan mengeluarkan ketidak seimbangan badan

Bawang putih (thum)
  • Bawang putih juga elok untuk memanaskan badan. Khasiatnya membuang gas dan menggalakkan pengeluaran air mani. Baik untuk pembawakan sejuk, untuk mencairkan balgham. Minyaknya digunakan untuk merawat gigitan serangga dan Nabi s.a.w pernah bersabda "Sesiapa yang memakan pohon ini maka janganlah dia mendekati kami dan janganlah sembahyang bersama bersama kami."

Minyak sapi (samn)
  • Minyak sapi mengandungi banyak lemak. Ia dianggap sebagai penawar racun. Campurkan dengan manisan lalu dimakan dan ianya dipercayai ubat pada makanan.

Halia (zanjabil)
  • Halia disebut dalam ayat alQuran (ayat 17, Surah Al Insan) firman Allah Taala yang bermaksud "Dan mereka dalam Syurga itu,diberi dari sejenis minuman yang campurannya dari zanjabil". Khasiatnya membantu penghadaman dan memanaskan badan.

Inai (hinna)
  • Terdapat banyak khasiat pada inai. Antaranya menghilangkan bekas calar-calar atau lebam pada badan, menghilangkan sakit kepala, sakit dalam kaki, sakit kuku dan mengelokkan rambut. Inai bersifat sangat panas dan menerbitkan perasaan cinta. Wangian yang terbaik ialah yang diperbuat dari bunga inai. Memakai inai pada kuku, tangan dan kaki menjadi biasaan masyarakat di Timur terutama bagi pengantin baru.

Madu lebah(a'sal)
  • Madu lebah mempunyai berbagai-bagai khasiat. Madu atau manisan lebah ini apabila dicampur dengan air panas boleh mengubati penyakit cirit birit. Sabda Nabi s.a.w., "Demi Allah yang aku dalam genggaman Nya, minumlah madu. Malaikat akan memohon rahmat pada penghuni rumah yang ada madu di dalamnya. Jika seorang itu makan madu, seribu ubat masuk keperutnya dan sejuta penyakit keluar darinya."
  • Rasulullah sendiri mengamalkan meminum madu, dengan meminum segelas air yang dicampurkan dengan madu setiap pagi ketika perut kosong. Madu dianggap ibu segala makanan, minuman dan ubatan. Madu yang paling berkualiti ialah madu yang dikeluarkan dalam musim bunga (spring), seterusnya dalam musim panas (summer) dan yang kurang berkualiti adalah madu yang dihasilkan dalam musim sejuk (winter).

Kekacang (a'das)
  • Semua kekacang mengeluarkan kekeringan. Jenis-jenis kekacang hendaklah dimakan sedikit kerana kalau dimakan dengan banyak ianya tidak baik untuk perut. Ada hadith mengatakan bahawa sesiapa memakan kekacang akan menerbitkan hati yang simpati, mata berair dan menghapuskan kesombongan.

Salad (khass)
  • Meskipun ianya sejuk, ia dianggap sayuran yang baik untuk dimakan. Ia melembutkan tubuh yang keras dan membantu menyembuhkan penyakit gangguan mental. Salad melemahkan tenaga batin dan terlalu banyak memakannya juga melemahkan penglihatan.

Daging (lahm)
  • Daging mengandungi banyak khasiat. Dikatakan bahawa orang yang memakan daging selama 40 hari berturut turut tidak akan mendatangkan kebaikan. Dan orang yang tidak memakan daging selama 40 hari berturut-turut juga tidak akan mendatangkan kebaikan. Dengan kata lain makanlah daging secara sederhana. Daging yang paling baik ialah daging kambing. Ianya bersifat panas dan lembab. Daging kambing yang paling baik ialah daging kambing jantan yang berumur satu hingga dua tahun.
  • Adapun daging babi haram dimakan. Terdapat pertelingkahan pendapat mengenai daging kuda sebagai makanan biasa. Ibnu Sina berpendapat bahawa daging unta, kuda, keldai adalah tidak baik dimakan sebagai makanan biasa. Syariat juga melarang memakan daging binatang pemangsa. Dilarang memakan daging binatang pemangsa yang kukunya mencengkam dan menyangkuk.

Saturday, June 28, 2008

Bibir Cantik Bak Delima Merekah

Bibir yang mengukir senyuman lebih bermakna daripada seribu kata-kata. Bahagian inilah yang sering menjadi tumpuan apabila bertemu seseorang. Daripada senyumannya, telah dapat menggambarkan kemesraan yang bakal dilalui sepanjang mengenali seseorang itu.

Tambah lagi sekiranya bibir yang penuh dan tebal dan dipalit pula dengan gincu yang berwarna terang lagi menawan, menyerlahkan lagi keseksian si empunya wajah.Apa pun hakikatnya setiap daripada kita memiliki bibir semula jadi yang cantik dan ia jadi lebih menawan dengan satu sentuhan saja.Bantuan sentuhan daripada gincu bibir telah menambahkan keseksian pada bibir. Tanpa bantuannya, bibir seakan-akan mati tanpa serinya.

Kepentingan gincu bibir bagi menaikkan seri wajah seseorang wanita ini bukanlah suatu yang muncul pada zaman ketamadunan tetapi telah dipraktikkan sejak zaman kuno lagi, cuma penggunaan bahan sahaja berlainan.

Jika dahulu, di zaman Babylon, wanita menggunakan bahan seperti batu semimulia, yang ditumbuk dan debunya digunakan untuk mewarnai mata dan bibir, manakala bangsa Mesir kuno kemudian membuat ramuan khusus untuk gincu bibir, bahkan Ratu Mesir yang terkenal, Cleopatra mengenakan warna bibir merah menyala yang dibuat daripada ramuan kumbang merah dan semut merah.

Bahkan di rantau Asia, penggunaan sirih yang selalu dipraktikkan di kalangan wanita India dan Melayu untuk memerahkan bibir bagi menaikkan seri bibir yang mulus lagi seksi.

Namun begitu, dengan peredaran zaman, penggunaan bahan-bahan seperti itu telah semakin ditinggalkan malah telah dilupuskan langsung kerana kemodenan reka cipta peralatan solek.

Kata-kata yang menggambarkan keseksian bibir yang sering didengar iaitu bak delima merekah menggambarkan keadaan bibir yang cantik, mungil dan menggiurkan.Bibir yang sempurna menambah rasa keindahan kepada si pemilik atau individu, ditambah palitan gincu pada bibir mengikut kesesuaian wajah bagi membangkitkan aura keperibadian tertentu.

Jarang kita melihat bibir yang tidak dipalit gincu. Setidak-tidaknya warna tanah yang bersesuaian dengan bibir agar tidak nampak terlalu pucat dan tidak berseri.




Terdapat beberapa petua yang boleh di amalkan untuk mendapatkan bibir yang sihat dan menawan.

Merawat Bibir Merekah
Atasi masalah bibir merekah dengan meminum air kelapa muda yang dicampur dengan kuning telur dan sedikit madu lebah. Amalkan meminumnya sekali dalam sehari dan nantikan hasilnya.

Bibir Merah Semulajadi
Untuk mendapatkan bibir yang merah semulajadi, amalkan dengan meyapu madu lebah dibibir semalaman (semasa tidur).


Monday, June 23, 2008

Miliki Kuku yang Sihat

Kuku yang sihat akan kelihatan licin, bersinar dan bersih. Keadaan kuku akan memberi tanggapan terhadap kesihatan dan kecantikan diri seseorang. Maka adalah penting untuk menjaga kesihatan dan kebersihan kuku.




Oleh itu terdapat beberapa tip yang dapat dijadikan panduan dalam menjaga kuku. Di antaranya ialah:

Mengambil Makanan yang Sihat
  • Terdapat pelbagai makanan berkhasiat yang dapat menjadikan kuku kuat, sihat dan nampak menarik. Antaranya adalah seperti timun, bawang putih, kekacang, bawang besar, telur, beras perang, asparagus, hati, salmon, tuna, anggur dan epel.
Jangan Mengigit Kuku
  • Tabiat mengigit kuku akan menyebabkan kuku rosak(kelihatan pecah dihujung). Bagi mereka yang mempunyai masalah kencing manis, mengigit kuku boleh menyebabkan jangkitan pada kuku.
Penggunaan Kuku
  • Jangan menggunakan kuku untuk membuka atau mencungkil sesuatu objek keras. Ini kerana boleh menyebabkan kuku bercalar, serpih dan patah.

Pengambilan Multi Vitamin
  • Amalkan pengambilan vitamin seperti vitamin A, B, C, D dan E kerana ia baik untuk kuku.
Gunakan Pelembap
  • Seperti kulit, kuku juga memerlukan pelembap setiap hari. Cukup dengan memakai losen badan atau lotion kuku.
Membantu Pertumbuhan Kuku
  • Pengambilan kalsium dan zink dapat mempercepatkan pertumbuhan kuku dan menjadikan kuku kuat. Elakan Pengambilan gula dan alkohol yang berlebihan kerana dapat merosakkan kuku.

Sunday, June 22, 2008

Tip Penjagaan Kulit Cantik





Mulakan rutin kecantikan anda hari ini dengan melakukan tip penjagaan kulit cantik seperti yang di nyatakan.

  • Buang semua produk kecantikan yang tidak digunakan enam bulan lalu dan dapatkan produk penjagaan kulit yang benar-benar ingin digunakan setiap hari.
  • Minum 8 gelas air putih setiap hari.
  • Lakukan senaman kerana ia bukan sahaja baik untuk tubuh tetapi juga dapat membantu anda mendapatkan kulit cantik dan sihat berseri.
  • Pastikan kulit anda mendapat 'makanan' terbaik menerusi khasiat buah-buahan segar.
  • Pakai pelembap wajah setiap hari. Pilih pelembap yang bebas minyak.
  • Elakan kemarahan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada kulit anda. Sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.
  • Jangan sentiasa mengenakan selekan. Biar kulit berehat seketika.
  • Jangan terus tidur tanpa menanggalkan mekap terlebih dahulu.
  • Jangan menggunakan sabun atau sebarang produk selain produk penjagan kulit yang sesuai dengan kulit anda.
  • Berhenti pengambilan makanan ringgan kerana ia boleh merosakkan kulit anda.
  • Makanan tambahan seperti vitamin amat penting untuk kesihatan kulit anda. Walaupun begitu, tidak bermakna jika anda tidak mengamalkan makan harian yang berkhasiat.
  • Pastikan anda tidur cukup iaitu 8 jam sehari.
Diharapkan tip ini dapat membantu anda menjaga kulit supaya sihat dan kelihatan cantik.


Friday, June 20, 2008

Penjagaan Kuku Kaki

Kuku kaki juga perlu dijaga dan dirawat supaya kelihatan bersih dan sihat. Terdapat beberapa petua yang boleh dilakukan bagi memelihara kesihatan kuku.



Merawat Kuku Kaki
Titiskan cuka secukupnya di sekitar ibu jari kaki. Kemudian bersihkan dengan air suam. Anda akan dapati kotoran yang melekat pada kuku akan keluar dengan sendirinya.


Cengkam Kuku Kaki

Panaskan beberapa biji limau nipis dengan mengunakan api dapur kayu. Kemudian titiskan pada kuku yang mengalami cengkam. Lakukan 2 atau 3 kali sehari.


Mengilatkan Kuku Kaki
Buang kulit bawang putih dan potong dua, Gosokkan pada kuku kaki sekerap yang mungkin sehingga kelihatan berkilat. Ulangilah selalu sehingga anda benar-benar berpuas hati.


Thursday, June 19, 2008

Merawat Kulit Kusam

Kulit wajah yang kusam akan menghilangkan seri wajah kerana kelihatan tidak bermaya dan tone warna yang tidak sekata. Wajah yang kusam akan kembali segar dengan mengamalkan penggunaan masker/scrub dari buah-buahan seperti betik, epel dan sebagainya. Ini kerana ia mempunyai kandungan zat mineral dan vitamin yang tinggi, baik untuk wajah bagi menganti sel-sel kulit yang mati.




Terdapat beberapa ramuan masker/scrub yang boleh di amalkan. Di antaranya ialah:

Betik
  • Kisar sepotong betik yang telah dibuang biji dan campurkan dengan 1 sudu makan madu. Gaul ramuan sehingga sebati. Kemudian sapukan pada wajah dan biar kering selama 15-30 minit. Selepas itu, bersihkan wajah dengan air suam.

Tomato
  • Belah sebiji tomato dan gosokkan pada wajah. Biarkan selama 15-30 minit. Kemudian baru dibilas dengan air suam.

Mentimun
  • Potong mentimun secara nipis. Tampalkan pada keseluruhan muka dan dibiarkan selama 15-30 minit. Kemudian baru dibilas dengan air suam.

Epel
  • Kisar sebiji epel yang telah dibuang pulur dan biji. Kemudian dicampur dengan 1 sudu makan madu. Gaul sehingga ramuan sebati dan barulah disapukan pada wajah. Biarkan selama 15-30 minit. Selepas itu bilas dengan air suam.

Strawberry
  • Kisar 3 biji strawberry dan campurkan dengan 1 sudu makan madu. Sapukan pada wajah dan biarkan selama 15-30 minit. Kemudian barulah dibilas dengan air suam.

Karot
  • Kisar sebatang karot dan campurkan 1 sudu makan madu. Kemudian sapukan pada wajah dan dibiar selama 15-30 minit. Selepas itu barulah dibilas dengan air suam.

Wednesday, June 18, 2008

Panduan Solekan Mata Kucing


  1. Sapukan seluruh kelopak mata dengan pembayang mata neutral.
  2. Sapukan warna coklat pada bahagian bawah tulang kening bagi menyerlahkan bentuk kelopak mata.
  3. Lukis garisan sederhana tebal pada bahagian atas kelopak mata menggunakan pensil mata dari gerakan dari dalam membawa ke hujung mata. Pada bahagian hujung mata, lorek sedikit lekukan ke atas membentuk seperti segi tiga pada hujungnya.
  4. Kemaskan lorekan dan tambah garisan menggunakan warna yang sama pada bahagian bawah mata. Pastikan palitan pensil mata pada bahagian atas dan bawah bersambung di penghujungnya bagi memastikan ia kelihatan kemas.
  5. Akhiri dengan sapuan maskara jika ingin mata bundar anda kelihatan lebih galak.

Cuba lukis garisan pada mata berulang kali bagi memastikan anda benar-benar mahir mengawal pensil mata. Latihan yang dibuat juga membolehkan hasil lorekan mata kucing kelihatan kemas. Pilihan warna bergantung pada anda sama ada biru gelap, coklat atau hitam. Atau jika anda inginkan kesan tampak dramatik sesuai dengan majlis yang ingin dihadiri, boleh gunakan pensil warna metalik yang ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna memukau.


Tuesday, June 17, 2008

Menghilangkan Parut Jerawat


Parut jerawat baru yang kelihatan hitam dapat diatasi dengan melakukan scrub untuk menanggalkan sel kulit mati. Lakukan scrub seminggu 2 kali atau mengikut peraturan pemakaian dan hasilnya kulit akan kelihatan sihat dan mulus.Tapi jangan lakukan scrub ketika kulit berjerawat dan meradang kerana ini akan menyebabkan radang menjadi semakin teruk.

Selain itu, boleh menggunakan sabun yang mengandungi glikolic acid atau AHA, untuk menanggalkan sel kulit mati. Agar jerawat tidak berparut hitam atau berbekas , elakkan dari memicit jerawat kerana dapat merosakkan struktur kulit. Ini menyebabkan parut menjadi semakin gelap dan susah untuk dihilangkan.




Petua Menghilangkan Parut Jerawat

  • Mula-mula ambilkan sedikit madu. Campurkan madu tersebut dengan bedak sejuk. Tekapkan bedak tersebut ke tempat yang ada kesan jerawat. Lakukan sekurang-kurangnya 2 hari sekali.
  • Tumbuk beberapa batang kulit kayu manis dan jadikan serbuk. Campurkan dengan sedikit air. Tempelkan pada parut jerawat.
  • Asah kulit kayu manis dan campurkan dengan madu lebah. Tempelkan pada muka yang berparut setiap malam. Keesokkannya, cucilah menggunakan air suam.
  • Kisar timun dan tapiskan airnya. Tampalkan hampas timun pada muka. Biarkan setengah jam. Kemudian cuci bersih dengan air suam.
  • Rendam beberapahelai daun senduduk, sedikit cekur dan segenggam beras. Kemudian giling hingga lumat. Sapukan pada parut muka dua kali seminggu.
  • Tumbuk sepuluh helai daun sirih muda. Tempelkan pada muka terutama pada bekas jerawat. Setelah kering, cuci muka dengan air bersih. Amalkan tiga kali seminggu.

Monday, June 16, 2008

Penjagaan Kaki


Masalah tumit merekah juga boleh disebabkan keadaan persekitaran tempat kerja. Orang yang bekerja di tapak binaan menghadapi risiko lebih besar mengalami masalah ini kerana kaki menerima lebih tekanan.




Antara faktor lain yang boleh membawa kepada masalah ini ialah:
  • Berdiri terlalu lama di atas permukaan kasar.
  • Obesiti. Kegemukan memberi tekanan berlebihan kepada lapisan lemak pada tumit, menyebabkan ia tersesar ke tepi. Kulit akan pecah jika ia tidak lagi mampu menahan tekanan ini.
  • Memakai kasut tidak bertutup belakang juga dikatakan membantu sesaran lapisan lemak dan meningkatkan tekanan pada tumit.
  • Masalah kulit seperti psoriasis atau ekzema.
  • Kelenjar peluh yang tidak aktif.
  • Masalah kaki leper.
  • Memakai kasut yang terlalu ketat.
  • Kencing manis.

Sangat mudah untuk melihat masalah ini. Petanda paling jelas ialah wujudnya rekahan halus pada tumit. Kulit tumit biasanya menjadi tebal dan seolah-olah 'tumbuh' di keliling tumit.

Kulit ini biasanya berwarna kekuningan atau menjadi lebih gelap. Malah, kaki berasa gatal dan sakit apabila berjalan.

Bagaimanapun, jangan risau kerana masalah ini mudah dirawat. Jika rekahan pada tumit berdarah, perkara pertama perlu dilakukan ialah merawat luka terlebih dulu. Sebaik-baiknya mulakan rawatan sebaik garis halus pada tumit kelihatan kerana pada peringkat ini ia lebih mudah dihilangkan.

Rawatan boleh dimulakan dengan:

  1. Bersihkan kaki pada setiap pagi dan malam (selepas semua aktiviti harian tamat). Kulit kaki juga perlu dibelai dengan mencuci menggunakan sabun yang lembut atau sabun anti bakteria membuat pengelupasan dan menyapukan pelembap.
  2. Cara pengelupasan paling mudah ialah menggosok tumit dengan batu pumis (boleh dibeli di farmasi atau pasar raya). Gosok perlahan-lahan beberapa kali untuk menanggalkan kulit yang tebal.Jika rekahan tumit besar, gunakan berus yang dibuat daripada gentian semula jadi. Cuci bersih dan lap hingga kering, terutama di bahagian merekah.
  3. Sapukan pelembap seperti losen atau minyak bayi.
  4. Pakai stokin dibuat daripada kapas ketika bekerja.
  5. Sebelum tidur, buat dua mandian untuk kaki iaitu mandian panas dan sejuk (masukkan air suam dan sejuk dalam dua besen berasingan). Tuangkan sedikit sabun antibakteria ke dalam kedua-dua besen. Rendam kaki dalam kedua-dua besen secara berselang seli. Ulang antara 10 hingga 15 minit.
  6. Keringkan kaki dan sapukan losyen pelembap.
  7. Pakai stokin kapas ketika tidur.
  8. Ulang semua proses ini selama lima hari. Apabila kulit tumit menjadi lembut, proses membersih, mengelupas dan melembap boleh dilakukan dua kali seminggu.

Jangan cuba gunting kulit tebal (kalus) kerana ia hanya mendedahkan kaki kepada jangkitan kuman.

  1. Ambil pupur tangan, sapu ke seluruh tangan dan tapak tangan anda. Pupur itu seelok-eloknya mengandungi garam kerana ia berupaya menanggalkan kulit mati dengan berkesan.
  2. Sapukan serum pada kedua-dua tangan yang sudah dipupur halus untuk melembapkan dan melembutkan kulit.
  3. Ambil plastik, bungkus kedua-dua tangan hingga ke pergelangan untuk mempercepatkan proses penyerapan serum (sekurang-kurangnya 3 hingga 4 minit).
  4. Buka balutan dan sapu losyen pelembap pada tangan. Pilih losyen yang mempunyai fungsi melembap dan mengandungi UV sebagai pelindung kepada kulit tangan anda yang sentiasa terdedah pada cahaya matahari.

Melembutkan tapak kaki

1. Sembur bahan pelembut (softener) pada keseluruhan tapak kaki.

2. Kikir kulit tapak kaki yang kasar menggunakan alat khas, scripper.

3. Gosok kaki menggunakan batu pengasah (boleh dibeli di farmasi).

4. Diakhiri dengan scrub (perisa mint) pada keseluruhan kaki daripada paras lutut ke bawah.

5. Basuh kaki anda dan lap sehingga kering.


Sunday, June 15, 2008

Menghilangkan Bintik Hitam

Bintik hitam ataupun dikenali sebagai black head terjadi akibat daripada liang-liang pori yang tersumbat. Ini disebabkan oleh sisa kosmetik, debu atau kotoran yang tidak dibersihkan secara teliti.




Masalah ini dapat diatasi dengan melakukan scrub pada wajah supaya lebih bersih. Sebaiknya sebelum melakukan scrub, wajah hendaklah dibersih terlebih dulu supaya liang-liang pori terbuka. Setelah dilakukan scrub, bilas wajah dengan air atau toner untuk merapatkan pori - pori kembali. Lakukan seminggu 2 kali.


Terdapat beberapa petua yang dapat di amalkan untuk menghilangkan bintik hitam pada wajah. Antaranya adalah:

  • Rendamkan sehelai tisu ke dalam dua biji putih telur. Tampalkan tisu tersebut pada tempat yang ditumbuhi bintik-bintik hitam. Setelah kering, tanggalkan. Basuh muka dengan air bersih dan pencuci muka. Lakukan dua kali seminggu.
  • Lumatkan sehelai daun nangka yang agak tua dengan sedikit air. Sapukan pada muka yang telah dibersihkan. Setelah kering, bersihkan muka dengan menggunakan air suam.
  • Campurkan beras pulut dengan kulit kayu manis. Kemudian goreng tanpa minyak hingga kekuningan. Kisar dan gosokkan pada muka dua kali seminggu.


Saturday, June 14, 2008

Rambut dan Bentuk Tubuh




Selain usia dan bentuk wajah, bentuk tubuh juga perlu diperhatikan saat ingin bertemu pendandan rambut. Tidak semua orang sesuai berambut panjang dan tidak semua orang juga sesuai berimej ranggi melalui potongan rambut pendek.


Tubuh kurus

  • Potongan rambut seharusnya dapat memperlihatkan wajah kelihatan berisi. Untuk tampil feminin, rambut paras bahu, berombak dan dipotong layer sesuai untuk mereka bertubuh kurus. Bagaimanapun, elakkan menggayakan rambut panjang lurus kerana ia akan membuatkan anda lebih kurus. Rambut pendek pula membuatkan anda kelihatan lebih maskulin.

Tubuh gemuk

  • Rambut yang tidak terlalu panjang (melepasi bahu) dengan layer pada sisi kiri dan kanan rambut boleh membuatkan anda kelihatan kecil. Elakkan potongan rambut yang terlalu pendek, terlalu panjang, kerinting dan bergelombang kerana ia membuatkan tubuh kelihatan bertambah besar.

Tubuh kecil atau mungil
  • Rambut lurus yang halus sesuai dengan anda. Panjang rambut tidak terlalu pendek dan tidak terlalu panjang. Rambut pendek dengan layer dan gelombang pada bahagian atas kepala juga sesuai.

Tubuh tinggi
  • Mungkin mereka bertubuh tinggi tidak menghadapi sebarang masalah untuk menggayakan apa juga gaya rambut. Gaya rambut berombak dan beralun semula jadi boleh merubah penampilan anda kelihatan feminin.


Thursday, June 12, 2008

Rawatan Wajah di Rumah

Melakukan rawatan muka di rumah kedengaran seperti asing dan merumitkan. Bagaimanapun, jika difikir secara logik, rawatan muka di rumah sebenarnya lebih tenang dan murah.



Sediakan bahan yang diperlukan dan luangkan hanya 25 minit untuk melakukannya.

Bahan:

Pembersih wajah
Krim untuk pengelupasan (scrub)
Air hangat
Pupur (ikut kesesuaian jenis kulit wajah)
Pelembap

Caranya:

1. Bersihkan wajah

  • Bertujuan untuk membuang segala kekotoran pada wajah. Untuk kulit berminyak dan kombinasi, gunakan sabun pembersih jenis buih manakala untuk kulit kering, gunakan susu pembersih.

2. Pengelupasan

  • Gunakan jari tangan, sapukan skrub dalam gerakan membulat pada wajah. Tumpukan pada Zon-T (hidung dan dahi) jika kulit anda jenis kombinasi. Apabila selesai, basuh wajah anda sehingga bersih kerana sisa skrub yang tertinggal boleh menyebabkan kulit kering.

3. Pengewapan

  • Tuangkan air panas dengan berhati-hati ke dalam besen kecil. Kenakan wajah pada wap daripada air panas berkenaan. Boleh juga gunakan tuala yang dicelup ke dalam air panas bercampur sedikit air sejuk lalu ditekan lembut pada wajah sebanyak 2 hingga 3 kali.

4. Sapukan pupur

  • Jika mempunyai kulit berminyak, gunakan pupur daripada bahan berasaskan tanah liat. Jika berkulit kering, gunakan pupur berasaskan gel atau krim hidrasi. Sapukan untuk tempoh 10 hingga 20 minit. Hindarkan kawasan mata. Apabila kering, bolehlah dibersihkan dengan air biasa.

5. Pelembap

  • Langkah akhir, pupuk krim pelembap pada wajah. Elakkan menggunakan krim dengan kandungan retinol kerana ia akan menyebabkan kulit mengelupas.

Wednesday, June 11, 2008

Muda dan Menawan





Awet Muda
  • Sentiasa mengawal emosi dengan tidak cepat meradang serta sentiasa senyum dan bermuka manis. Ini dapat mengelak kedutan pada wajah.
  • Kisar beberapa jambul nanas dan rebus dengan air selama setengah jam. Anggarkan air rebusan tinggal satu cawan. Setelah sejuk barulah diminum. Amalkan meminumnya seminggu sekali. Wanita hamil dilarang mengamalkan cara ini.
  • Amalkan makan sayuran jenis daun dan ulam-ulam untuk awet muda.

Tegangkan Kulit Muka

  • Tumbuk beberapa helai daun jambu batu hingga lumat. Bancuh dengan air suam. Apabila sejuk, sapu pada muka. Lakukan setiap malam.
  • Campurkan sedikit bedak sejuk dan beberapa titik air limau nipis. Bancuhkan bersama sedikit air kemudian sapukan ke muka. Kulit akan terasa pedih sedikit. Amalkan dalam masa seminggu untuk melihat perubahannya.


Pupur Anti Kedut


Bahan


Sebiji telur (ambil kuningnya saja)
Dua sudu makan susu segar

Caranya
  1. Pukul kuning telur dan masukkan susu segar ke dalam adunan sehingga sebati.
  2. Sapukan pada wajah seperti menyapu masker.
  3. Biarkan untuk lima minit sehingga pupur kering.
  4. Elakkan bercakap atau tersenyum ketika rawatan bagi mengelakkan muka berkedut.
  5. Kemudian bilas dengan air hangat.

Tuesday, June 10, 2008

Menghilangkan Bau Ketiak

Bau ketiak memang tidak menyenangkan pada diri sendiri serta orang sekeliling. Keadaan ini sungguh memalukan dan menimbulkan rasa rendah diri serta membataskan pergaulan.




Bagi mengatasi masalah ini, terdapat beberapa petua yang dapat di amalkan. Di antaranya ialah:
  • Ramaskan pucuk jambu batu hingga hancur. Kemudian sapukan di ketiak setiap kali sebelum mandi.
  • Rebus lima helai daun sirih dan lima kuntum bunga kenanga. Didihkan hingga airnya tinggal setengah gelas. Tapis dan camourkan gula merah. Amalkan meminumnya dua kali seminggu.
  • Ambil hampas kelapa, lumurkan pada ketiak. Biarkan selama lima minit. Kemudian bilas dengan air bersih. Lakukan dua kali seminggu.
  • Tumbuk daun sirih dengan sedikit tawas hingga lumat. Sapukan pada ketiak. Biarkan beberapa minit sebelum mandi. Bersihkan dengan air sabun dan air biasa. Amalkan dua kali seminggu.
  • Rebus beberapa helai daun limau kasturi dengan sedikit air. Tapiskan airnya dan amalkan meminumnya setiap hari.
  • Tumbuk tujuh helai daun limau nipis hingga hancur. Campurkan dengan sedikit madu dan bulat-bulatkan sebesar biji kacang. Makanlah tiga kali sehari. Bau badan akan hilang.
  • Rendam bunga tanjung, melati, melur, kenanga dan bunga mawar dalam sebaldi air. Campurkan dengan limau purut yang dibelah empat. Biarkan semalaman. Amalkan mandi selama empat puluh hari sebelum hari pernikahan.

Monday, June 9, 2008

Miliki Kaki Menawan





Menghilangkan Bau Kaki

  • Sediakan sebesen air dan campurkan segengam asam jawa dan dua sudu garam. Rendam kaki yang bermasaalah dan gosokkan celah-celah jari kaki dengan asam jawa. Selain dapat menghilangkan bau kaki,Ia juga boleh menghilangkan masaalah ulat air atau gatal-gatal di kaki.


Masalah Kaki Bersisik

  • Gosok buah mengkudu pada kaki yang bersisik. Biarkan selama 15 minit. Kemudian baru dibersihkan. Selain daripada kaki bersisik, petua ini boleh juga dilakukan pada jari kaki yang luka.
  • Campurkan segenggam hampas kelapa dengan sedikit asam jawa. Gosok berulang kali di bahagian kaki yang bersisik. Amalkan selalu.
  • Setiap hari sapukan sedikit minyak kelapa yang belum digunakan pada kaki yang bersisik.


Urat Timbul Di Kaki

  • Campurkan sebuku ragi, sedikit air limau nipis dan air sehingga sebati. Sapukan pada urat yang timbul pada setiap malam. Apabila tidur, letakkan kaki di atas bantal.
  • Campurkan sedikit asam jawa dan air sehingga pekat. Sapukan pada kaki pada setiap malam. Tinggikan kaki sedikit ketika tidur.
  • Rebus kacang hijau, minum airnya setiap pagi dan petang. Buatlah senaman angkat kaki selama 10 minit sebelum tidur.

Kaki Bengkak Ketika Hamil
  • Rebus segenggam bulu jagung bersama sedikit air. Biarkan sehingga menjadi satu gelas. Kemudian tapis dan minum setaip hari.

Sunday, June 8, 2008

Buah turunkan Berat Badan


RAMAI sedia maklum dengan khasiat buah yang mengandungi serat tinggi, air dan nutrisi sehingga mampu membuatkan perut menjadi kenyang. Tidak hairanlah mengapa pakar pemakanan mengunjurkan amalan memakan buah sebagai pelengkap hidangan dalam diet harian.




Bagaimanapun dalam pilihan pelbagai jenis buah, ada beberapa jenis yang mempunyai kelebihan dalam membantu menurunkan berat badan iaitu grapefruit atau limau gedang, oren, epal, beri, tembikai dan anggur.

1. Limau gedang

  • Kajian mendapati buah limau besar berkenaan mempunyai asid sitrik yang dapat menghambat kehadiran kalori dalam makanan.

2. Oren

  • Berbanding buah lain, oren dipercayai mempunyai kandungan serat paling tinggi. Serat yang ada dalam buah itu juga adalah dari jenis larut di dalam air dan amalan pemakanan oren mampu mengurangkan keinginan seseorang menikmati karbohidrat.

3. Epal

  • Ada kajian mendapati seseorang yang mengambil sebiji epal sebelum menikmati hidangan mampu mengurangkan kadar kenaikan berat badan sebanyak 33 peratus berbanding orang yang tidak mengamalkannya.

4. Beri

  • Buah dari kumpulan beri adalah antara jenis buah yang kaya dengan kandungan antioksidan dan dapat meningkatkan kadar metabolisme tubuh.

5. Tembikai

  • Buah ini terdiri daripada 92 peratus air dan mampu memberikan signal kenyang kepada otak dalam tempoh singkat apabila reseptor di dalam perut terangsang.

6. Anggur

  • Kandungan antioksidan di dalam buah ini mampu mencegah gula di dalam darah menjadi lemak. Anggur juga mencegah pembentukan lemak di dalam perut.

Saturday, June 7, 2008

Kulit Muka Lembut dan Cerah


Memiliki kulit muka yang lembut dan cerah adalah merupakan idaman bagi setiap wanita. Ini dapat meningkatkan keyakinan diri serta menyerlahkan kecantikkan diri. Terdapat beberapa petua yang dapat di amalkan untuk memiliki kulit muka yang cantik dan cerah.





  • Parutkan seketul ubi kayu dan tempelkan pada muka. Biarkan hingga kering. Selepas itu cuci muka dengan air suam. Amalkan pada setiap malam.
  • Campurkan parutan lobak merah, kuning telur, sedikit air limau nipis hingga sebati. Sapukan pada muka dan bairkan kering. Cuci dengan air bersih tanpa sebarang pembersih muka.
  • Sapukan muka dengan putih telur dan biarkan selama 30 minit. Setelah itu, cuci dengan air biasa. Lakukan tiga kali seminggu.
  • Kisar kulit telur hingga halus. Campurkan dengan air suam dan bedak sejuk. Sapukan campuran tadi pada muka. Urutkan kulit muka perlahan-lahan. Biarkan hingga bedak kering. Kemudian basuh dengan air suam.
  • Parut sebiji kentang. Perah airnya. Sapukan pada muka. Apabila separuh kering, cuci muka dengan air.
  • Kisar lima kuntum bunga cempaka dan lima kuntum bunga melur hingga halus. Campurkan dengan bedak sejuk. Sapukan pada muka pada setiap malam.
  • Campurkan tepung sagu dengan air. Sapukan pada muka seperti memakai bedak sejuk. Lakukan setiap hari.

Wednesday, June 4, 2008

Pemakanan Betul Elak Perut Buncit

SEMUA wanita pasti mengidamkan perut yang kempis dan bebas dari sebarang benjolan lemak. Namun, pemakanan dan gaya hidup hari ini yang semakin diabaikan, ramai wanita mengalami masalah perut buncit.




Ada enam panduan boleh dicuba wanita yang impikan perut kempis.
  1. Lengkapkan hidangan harian dengan sekurang-kurangnya semangkuk buah-buahan. Vitamin yang terkandung dalam buahan segar bukan saja baik untuk kulit malah mengandungi fiber untuk melancarkan sistem perkumuhan.
  2. Minum banyak air kerana air tidak mengandungi kalori tapi bersifat mengenyangkan dan melancarkan sistem metabolisme tubuh.
  3. Hindari minuman beralkohol. Ia mungkin tidak mengandungi lemak namun mempunyai kandungan kalori yang tinggi. Minuman beralkohol juga menyebabkan peningkatan pengeluaran hormon kortisol menyebabkan perut bahagian bawah menjadi buncit.
  4. Amalkan cara duduk tegak kerana apabila duduk dalam keadaan membongkok, perut bahagian bawah akan kelihatan lebih besar. Untuk melatih otot sentiasa kencang, amalkan mengemut otot perut ketika sedang duduk. Kemudian tarik bahu ke belakang dan dagu ke atas. Sandarkan punggung bawah dekat pada penyandar kerusi. Amalan ini membantu membaiki postur badan anda.
  5. Lakukan semua kerja rumah sendiri seperti membersihkan rumah, mengemas kamar tidur atau ketika menonton televisyen, anda boleh melakukan aktiviti mengangkat beban. Ia bukan saja dapat membakar 350 kalori sejam tapi turut membakar lemak yang berkumpul pada perut anda.
  6. Lakukan senaman latih tubi di rumah ketika mempunyai waktu terluang. Caranya sangat mudah sama ada ketika atau sebelum tidur. Cukup sekadar 10 hingga 15 kiraan setiap hari.



Tuesday, June 3, 2008

Masalah Jerawat




  • Bersihkan muka. Kemudian cuci dengan air kelapa tua. Biarkan ia kering sendiri. Kemudian bilas dengan air bersih. Amalkan tiga kali seminggu.
  • Setelah muka dibersihkan, tutup muka dengan kain tuala yang lembab. Dekatkan muka ke wap nasi atau air panas selama lima minit. Ulangi beberapa minit. Kemudian pakai penyegar muka.
  • Sejukkan sedikit kanji nasi. Sapukan pada jerawat dan biarkan ia kering di muka. Kemudian cuci dengan air suam. Amalkan setiap hari hingga jerawat berkurangan.
  • Jika jerawat masih sukar hilang, rebus beberapa helai daun teh warna hijau. Ketika suam, lekatkan pada jerawat dan biarkan sehingga ianya kering.
  • Tumbuk segenggam bunga melur bersama sedikit air hingga lumat. Sapukan ke muka dan biarkan kering. Kemudian cuci dengan air kelapa muda.
  • Basuh muka dengan air basuhan beras. Setelah kering, cuci dengan air bersih. Amalkan selalu.
  • Rendam segenggam beras hingga kembang. Toskan airnya. Tumbuk beras ini bersama segenggam biji betik muda hingga lumat. Campurkan dengan sedikit air. Gentelkan kecil-kecil dan jemur hingga kering. Apabila hendak memakainya, bancuh dengan air dan tempelkan di muka.
  • Hancurkan beberapa helai daun pucuk jambu batu. Campurkan dengan besak sejuk. Tempelkan di muka sebelum tidur. Amalkan setiap hari.
  • Atasi jerawat dan jeragat dengan keringkan kulit buah rambai, dan dikisar halus. Campur dengan sedikit air mawar atau air masak. Sapukan kewajah, amalkan dua kali seminggu.
  • Hilangkan jerawat batu dengan ambil sedikit beras, tumbuk hingga halus dan campurkan dengan sedikit air. Gunakan pada waktu hendak tidur, tiga kali seminggu.

Monday, June 2, 2008

Panduan Bentuk Bibir Menyerlah





MEMILIKI ulas bibir merah merekah bak delima sentiasa menjadi impian setiap wanita. Namun, persoalannya, bagaimana mahu memiliki bibir yang segar, lembut dan sihat kerana sesetengah wanita berdepan alahan apabila menggunakan gincu bibir tertentu.

Sehubungan itu, kenali bibir anda. Abaikan mitos yang biasa didengar jika inginkan sebentuk bibir menyerlah.


Mitos 1
  • Produk perawatan bibir (lip care ) seperti perapi bibir, pelindung bibir atau balm bibir beraroma buah boleh menyebabkan bibir kering dan pecah.

Fakta
  • Aroma dihasilkan kandungan pewangi atau perisa hanya unsur tambahan. Semua produk perawatan bibir biasanya mengandungi pelembap seperti Vitamin E atau pelindung tabir suria yang sesuai dioles ke bibir.

Mitos 2
  • Menggunakan gincu bibir jenis matte (tidak berkilat) boleh menyebabkan bibir kering.

Fakta
  • Bibir mengandungi melanin atau zat pigmen yang peka dengan sinar matahari. Jika bibir kering apabila mengenakan gincu bibir matte, ia adalah disebabkan kandungan minyak dalam bahan pelarutnya terlalu sedikit, bahkan tidak mengandungi air. Penggunaan yang terlalu kerap menyebabkan bibir tidak terlindung dan menjadi kering.

Mitos 3
  • Kebiasaan menjilat bibir membuatkan bibir sentiasa kekal lembap.

Fakta
  • Air liur mengandungi kelenjar dan enzim tertentu. Kebiasaan menjilat bibir boleh menyebabkan iritasi pada kulit bibir yang tipis hingga mengakibatkan bibir bertambah kering.
Mitos 4
  • Menambah olesan gincu secara berulang selepas warna asal yang disapu hilang tidak mendatangkan sebarang mudarat.

Fakta
  • Sebaiknya bibir dibersihkan terlebih dulu sebelum menyapu warna baru jika sapuan pertama dibuat selang beberapa jam. Ini kerana sapuan pertama tadi sudah tercemar di udara, bercampur debu bahkan sisa makanan. Jika diteruskan juga, dikhuatiri akan mencemarkan stik gincu anda.

Mitos 5
  • Amalan menyapu madu sebelum tidur menjadikan bibir lembap dan sihat.

Fakta
  • Madu mengandungi kadar gula yang memberikan nutrisi pada bibir selain dapat menggantikan pelembap bibir. Selain madu, masker parutan aprikot dan lidah buaya juga dipercayai mempunyai khasiat yang baik untuk bibir.

Mitos 6
  • Merawat bibir dengan pupur, skrub atau produk pengupasan kulit (peeling) selain membuang kulit mati pada wajah, juga boleh dikenakan pada bibir ketika membersihkan muka.

Fakta
  • Produk pembersih wajah mengandungi zat pembersih aktif, sabun yang kuat serta butiran skrub yang kasar. Jika disapukan pada bibir, akan akan menyebabkan iritasi pada kulit bibir yang halus.

Rujukan Berita Harian