Saturday, July 4, 2009

KHASIAT HALIA

Dari India kuno dan Cina kuno membawa kepada Yunani dan Rom, halia (zingiber officinale) disanjung sekaligus sebagai bahan perubatan dan perasa dalam masakan.

Orang Yunani kuno mendapati halia amat berkesan untuk penghadaman, lantas mereka mengadunkan halia ke dalam pembuatan roti mereka. Demikianlah lahirnya roti halia (gingerbread).Herba ini didapati tumbuh di beberapa daerah India dan Cina, Jamaica dan kawasan-kawasan tropika yang lain. Sebagai rempah ratus, halia menambahkan rasa pedas dan masam kepada masakan.

Sejak zaman medieval Eropah, herba ini sering dikaitkan sebagai tumbuh-tumbuhan utama di taman herba dan amat dihargai oleh ahli-ahli perubatan tradisional. Pada hari ini halia digunakan, antara lain adalah untuk meredakan loya.

Pengamal perubatan tradisional mencadangkan pesakit selsema mengunyah halia segar atau minum teh halia ataupun minum perahan jus akar halia dan diambil bersama satu camca madu.
Ternyata cadangan ini boleh meredakan kesakitan dalam dada yang bersabit dengan selesema. Halia dikenali kerana sifatnya yang boleh menghilangkan rasa ketidakselesaan perut. Sejak beribu-ribu tahun, halia termasyhur sebagai herba untuk menghilangkan masalah penghadaman. Kajian moden ke atas bahan aktif halia membuktikan keberkesanan halia dalam perubatan tradisional ini.

Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas 40 orang kadet perkapalan yang mengambil satu gram serbuk halia setiap hari dan hasilnya membuktikan kadet-kadet ini kurang risiko terhadap mabuk laut, muntah-muntah dan berpeluh dalam cuaca sejuk.

Oleh kerana halia bertindak terutamanya pada sistem penghadaman, menambahkan cecair penghadaman dan meneutralkan asid, ia menjadi alternatif perubatan terbaik kepada ubat anti loya dan rasa pitam.

Pengambilan halia lebih selamat daripada pengambilan ubat anti loya ini.Kajian yang dilakukan ke atas wanita yang bakal menjalani pembedahan yang bersabit dengan sakit puan, menunjukkan bahawa pesakit yang mengambil satu gram halia sebelum dibedah akan kurang mengalami loya dan muntah selepas pembedahan dijalankan.

Halia juga didapati dapat melawan rasa loya disebabkan kemoterapi. Pesakit yang menjalani kemoterapi dinasihatkan supaya halia itu dimakan bersama makanan lain untuk mengurangkan sebarang kesan radang pada perut.

Keberkesanan halia untuk membanteras rasa loya menjadikannya amat berguna bagi mengurangkan rasa pening dan pitam yang sering dikesan pada pesakit yang sudah berumur, juga untuk mengubati rasa loya kerana hamil.

Halia dapat melegakan rasa loya semasa hamil yang sering dialami pada peringkat pertama trimester. Dinasihatkan bakal ibu mengambil 250 mg halia, empat kali sehari tetapi pengambilan halia patut dihentikan selepas bulan ketiga.
Selain itu, halia juga digunakan dalam ramuan perubatan untuk membuang angin. Sakit-sakit pada otot dan sendi juga dapat diatasi dengan penggunaan halia.

Herba ini boleh didapati dalam banyak bentuk: kapsul, tablet, jel-lembut, serbuk, minyak, cecair, halia segar atau kering, dan halia hablur.

Untuk otot yang sakit, minyak halia yang dicampurkan dengan minyak neutral lain boleh digosokkan kepada bahagian yang sakit itu. Gosokan itu dapat melegakan kesakitan. Sekiranya mengalami alahan, empat cawan teh halia sehari akan dapat mengurangkan simtom-simtom alahan.

Halia didapati selamat untuk pelbagai perubatan, sama ada dimakan dalam bentuk kapsul, mahupun dimakan segar, atau diminum dalam bentuk minuman teh.

Kegunaannya:

Khas untuk merawat penyakit angin dalam badan, muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut, reumatisme, melancarkan pengaliran darah, menghangatkan badan dan membantu penghadaman makanan. Ia juga dapat merawat mati pucuk, keracunan oleh udang, sakit pinggang dan sakit kepala.

Reumatisme
Halia dibakar, dibersihkan kemudian diparut dan ditampal pada bahagian yang sakit.

Mencegah mati pucuk
Halia sebesar ibu jari
sebiji limau nipis
sebiji telur ayam kampung
1 sudu teh serbuk kopi
1 sudu makan kicap 1 sudu makan madu

Caranya: Halia diparut dan dicampurkan dengan semua bahan di atas dan digaul rata. Amalkan seminggu sekali.

Merawat Sakit Pinggang
Halia diparut dan dicampurkan dengan asam jawa kemudian sapu pada pinggang.

Merawat Sakit Kepala
Halia ditumbuk hingga halus dan ditampal di dahi dan pelipis.

Merawat cirit birit dan muntah-muntah
Halia
buah pala
1 gelas santan kelapa
1 sudu teh minyak kayu putih.

Caranya: Semua bahan ditumbuk halus dan dicampur hingga sebati. Digunakan sebagai ubat sapu pada perut.

Merawat loya dan muntah bg ibu mengandung
1 inci halia
1 batang serai
2-3 kuntum bunga cengkih dan kayu manis.

Caranya: Kesemua bahan dimasukkan ke dalam segelas air mendidih. Kemudian dimasukkan seketul gula batu, tutup dan minum pagi dan malam.

Mengatasi masalah kelemumur
Halia muda ditumbuk dan lumurkan pada akar rambut.

Halia juga dikatakan boleh melambatkan proses penuaan ( awet muda gituuu )

No comments:

Post a Comment